Tuesday, January 25, 2011
Mati bersalin... bukan bersalin baju yerp...
Darah beku ke paru-paru, air ketuban masuki saluran darah antara punca utama
SEORANG wanita bersalin anak kelima dan cukup bulan tanpa sebarang komplikasi. Namun, ketika pemantauan rutin kira-kira empat jam kemudian, jururawat menemuinya dalam keadaan tidak bermaya, pucat dan sesak nafas.
Pemeriksaan awal tidak menunjukkan sebarang tanda pendarahan nifas yang berlebihan atau manifestasi penyakit jantung dan paru-paru yang jelas. Kajian ultrasound jantung atau ‘echocardiography’ mendapati bahagian kanan jantung membengkak dan tidak berdenyut dengan baik - petanda saluran darah ke paru-paru sudah tertutup berikutan peralihan gumpalan darah beku dari kaki ke paru-paru. Inilah kesan masalah embolisme paru-paru akut yang menjadi cabaran getir bagi setiap pengamal perubatan yang mengendalikan wanita mengandung dan baru bersalin. Di Malaysia, kajian menunjukkan lebih kurang 15% kes kematian ibu mengandung atau yang baru bersalin, disebabkan masalah itu.
Ia disebabkan dua punca iaitu pertama, gumpalan darah beku atau ‘deep vein thrombosis’ yang terbentuk di betis atau pinggul wanita yang mengandung akibat kurangnya kelancaran darah menerusi betis dan pinggul wanita berikutan tekanan kandungan dibawanya. Risiko ibu mengandung mengalami penyakit ini adalah empat kali ganda berbanding wanita biasa dan risiko ia berlaku selepas bersalin adalah lima kali ganda berbanding sebelum bersalin yang mana separuh kes dilaporkan berlaku melahirkan anak.
Kedua, air ketuban yang memasuki saluran darah ibu ketika bersalin atau ‘amniotic fluid embolisme.’ Ia tidak menyebabkan saluran darah tersumbat secara mutlak seperti di atas sebaliknya reaksi anafilaksis yang menjadikan saluran paru-paru menyempit dan akhirnya tertutup. Kadar kematian akibatnya amat tinggi dan sehingga kini, cara merawatnya masih belum dapat dikenal pasti.
Dua punca itu mempamerkan manifestasi klinikal yang sama iaitu, wanita berkenaan mengalami sesak nafas, tekanan darah merudum, kadar nadi meningkat drastik, pucat, tidak bermaya atau tidak sedarkan diri.
Justeru, mereka yang mengiringi wanita itu seperti suami, perlu prihatin dan mengamati keadaan isteri ketika bersalin dan selepas bersalin. Jika ia berlaku, wajarlah jururawat atau doktor dimaklumkan secepat mungkin bagi rawatan segera. Andai berlaku di rumah, pastikan bantuan pernafasan dan tekanan dada cardio-pulmonary resuscitation atau CPR didahulukan sementara menunggu bantuan ambulans.
Apakah faktor risiko masalah ini? Bagi wanita tidak mengandung, pengambilan pil perancang keluarga adalah faktor utama yang boleh menyebabkan masalah ini. Selain itu, merokok, berat badan berlebihan, penyakit kronik lain seperti kanser atau keadaan yang mana kurangnya pergerakan fizikal berpanjangan seperti patah tulang kaki atau pinggul, duduk terlalu lama dalam kapal terbang - semuanya boleh menambah risiko gumpalan darah di kaki.
Bagi ibu mengandung, faktor seperti umur, bilangan kehamilan yang ramai, kandungan kembar atau kehadiran penyakit lain seperti penyakit jantung akan menambah risiko.
Kaedah rawatan penyakit ini bergantung kepada puncanya. Jika disebabkan gumpalan darah beku, maka pesakit perlulah dirawat dengan cara ‘fibrinolysis’ iaitu menghancurkan gumpalan darah berkenaan. Tahap kejayaan menggunakan kaedah rawatan ini adalah amat tinggi tetapi perlu disusuli ubat untuk mencairkan darah bagi mengelakkan ia berulang.
Ubat seperti Heparin dan Warfarin perlulah diambil sekurang-kurangnya tiga bulan selepas bersalin dan tanpa henti. Jika disebabkan air ketuban, maka pesakit perlu diberi bantuan pernafasan ventilasi dan ubat untuk menyokong tekanan darah optimum. Seperti yang disebut, kadar kematian disebabkan oleh punca ini adalah 80% dan usaha menemui cara rawatan terbaik masih lagi diteruskan.
Info : Embolisme paru-paru akut
Punca utama kematian ibu mengandung dan yang baru bersalin.
Tanda-tanda perlu diamati termasuk sesak nafas, tekanan darah merudum, peningkatan kadar nadi dan pesakit kelihatan pucat, tidak bermaya atau tidak sedarkan diri.
Faktor risiko - umur, bilangan kehamilan yang ramai, kandungan kembar atau kehadiran penyakit lain seperti penyakit jantung akan menambah risiko.
Rencana oleh Profesor Madya Dr Azarisman Shah Mohd Shah, Pakar Perunding Perubatan Dalaman dan Kardiologi, Timbalan Dekan (Akademik) dan Timbalan Pengarah Pusat Konsultasi Klinikal, Kuliah Perubatan, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Bandar Indera Mahkota, Pahang.
Sumber : BHarian 28/11/2010
Everyone thinks of changing the world, but no one thinks of changing himself. – Leo Tolstoy
¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤
Firman Allah SWT :[7:179] Dan sesungguhnya Kami jadikan untuk isi neraka Jahanam kebanyakan dari jin dan manusia, mereka mempunyai hati, tetapi tidak dipergunakannya untuk memahami (ayat-ayat Allah) dan mereka mempunyai mata (tetapi) tidak dipergunakannya untuk melihat (tanda-tanda kekuasaan Allah), dan mereka mempunyai telinga (tetapi) tidak dipergunakannya untuk mendengar (ayat-ayat Allah). Mereka itu sebagai binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi. Mereka itulah orang-orang yang lalai.
Hadis Rasulullah SAW:
Dari Abu Hurairah r.a., dari Rasulullah SAW., sabdanya: "Siapa yang tasbih tiga puluh tiga kali, tahmid tiga puluh tiga kali, takbir tiga puluh tiga kali, jadi jumlahnya sembilan puluh sembilan kali, kemudian dicukupkannya seratus dengan membaca: "La ilaha illallahu wahdahu la syarikalahu lahul mulku wa lahul hamdu wa huwa 'ala kulli syai-in qadir. Maka diampuni Allah segala kesalahannya, walaupun sebanyak buih di lautan." (Hadis riwayat Muslim)
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment